Kafeteria kolej kediaman UMS menyediakan menu makanan dengan harga siling RM3.50 kepada pelajar.

PADA awal Julai 2022, YAB Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi melalui Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia telah melancarkan Food Basket Siswa Malaysia dalam rangka usaha memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Inisiatif bakul makanan ini merupakan salah satu daripada tujuh inisiatif yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut. Antaranya ialah moratorium bayaran sewaan enam bulan kepada pengusaha kafeteria di kampus IPT awam, pemerkasaan inisiatif bank makanan siswa, dan penyelarasan kadar upah Program Job on Campus (JoC) dengan Perintah Gaji Minimum 2022.

Namun begitu, inisiatif bakul makanan yang menawarkan Menu Keluarga Malaysia serendah RM3.50 ini bukanlah inisiatif yang asing bagi sesetengah siswa. Ini kerana terdapatnya duluan oleh sesetengah pengusaha kafeteria yang telah menyediakan menu bajet (contoh: nasi, sejenis lauk dan sup) atas inisiatif sendiri. Kendatipun begitu, bagi sebuah negara yang mempunyai Indeks Jarak Kuasa (Power Distance Index atau PDI) yang tertinggi di dunia menurut Prof Emeritus Geert Hofstede, inisiatif sebegini merupakan usaha yang wajar dipuji demi penyelarasan.

Untuk makluman, mendiang Prof Hofstede merupakan seorang ahli sosiologi Belanda yang masyhur dek pembangunan antara rangka kerja terawal dan paling popular untuk mengukur dimensi budaya melalui perspektif global. PDI yang dibangunkan oleh Prof Hofstede telah digunakan secara meluas sebagai kayu ukur tahap yang mana ahli institusi dan organisasi yang kurang berkuasa menerima bahawa kuasa diagihkan secara tidak sama rata. Dan salah satu implikasinya ialah negara kita mempunyai organisasi hierarki dengan struktur perintah dan kawalan yang agak tegar.

Berbalik kepada Menu Keluarga Malaysia, inisiatif atas-bawah ini berpotensi untuk mengurangkan beban kewangan yang sedang dihadapi oleh para siswa. Sebagai contoh, sebelum ini, harga Menu Keluarga Malaysia yang serupa mampu mencecah sehingga RM7 di sesetengah kampus. Selain itu, inisiatif sebegini juga sangat membantu meringankan beban para siswa dari keluarga B40. Sebagai contoh, setakat tahun ini, 70% daripada mahasiswa di UiTM dan 60% di UMS merupakan daripada keluarga berpendapatan B40.

Makna kata, melalui bajet yang serupa yakni RM7 dan pengurangan harga sehingga 50%, seorang mahasiswa boleh menjamu Menu Keluarga Malaysia sebanyak dua kali sehari. Namun begitu, menurut hukum fizik pula, setiap tindakan bakal menatijahkan kesan. Terutama sekali dari segi aspek subsidi kerana kita sedia maklum betapa subsidi bukannya percuma. Tentunya impak terbesar yang dihadapi oleh para pengusaha kafeteria ialah penyerapan kos. Walau bagaimanapun, penyerapan kos ini telah pun diimbangi melalui moratorium bayaran sewa selama enam bulan.

Meskipun begitu, bagaimana kiranya usai enam bulan kelak? Adakah para pengusaha perlu menyerap ‘subsidi’ Menu Keluarga Malaysia ini? Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap inisiatif ini. Pertama, penambahbaikan piawaian (standard) yang lebih mantap. Sebagai mahasiswa, mereka tentunya sudah terbiasa dengan penggunaan rubrik pemarkahan sebagai penanda aras dalam mengerjakan tugasan ilmiah mereka. Justeru, usaha yang sama boleh diperpanjang melalui penggunaan gambar penanda aras Menu Keluarga Malaysia. Di samping itu, pihak pengusaha juga boleh menggunakan contoh sebenar dengan meletakkan sebuah pinggan yang telah pun diisikan lauk pauk bernilai RM3.50 di atas.

Kedua, inisiatif sebegini juga boleh dilengkapi daya usaha yang lebih lestari melalui penyediaan atau pemantapan kawasan dapur bersama demi memberikan peluang kepada pelajar untuk memasak. Rentetan isu kelestarian di atas, adakah inisiatif sebegini merupakan inisiatif yang lestari? Jawapan ringkasnya ialah “ya.” Biarpun begitu, terdapat kaveat penting yang perlu diambil kira iaitu sumber pendanaan yang berterusan – terutamanya bagi menampung kos operasi pengusaha kafeteria.

Dalam jangka masa sederhana dan panjang misalnya, kita boleh menggembleng usaha di antara pihak-pihak berkepentingan seperti alumni, industri mahupun sektor ekonomi ketiga. Sebagai misalan, kita boleh meneroka potensi sinergi bersama-sama para pembekal ayam berskala besar untuk pembekalan ayam segar kepada pengusaha kafeteria pada harga kos melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. Akan tetapi, sekiranya dihitung, inisiatif sebegini hanya akan memanfaatkan sekitar 2% daripada 30.2 juta Keluarga Malaysia (589,879 siswa di universiti awam pada 2021).

Lantaran itu, bagaimanakah kita boleh memanjangkan inisiatif kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan? Walau bagaimanapun, kita sedia maklum mengenai ruang fiskal terhad dihadapi kerajaan yang baru-baru ini dizahirkan melalui Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam (edisi kemaskini 14 Julai 2022). Justeru, kita memerlukan penyelesaian luar kotak melalui strategi laut biru. Hampir setiap daerah di negara bertuah ini terutamanya di Semenanjung Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu IPT awam. Ini termasuklah universiti awam, politeknik, kolej komuniti, institut pendidikan guru, kolej vokasional dan pelbagai jenis institut kemahiran.

Sehubungan itu kita boleh menggembleng institusi pendidikan dan latihan ini untuk meluaskan inisiatif sebegini kepada para penerima Skim Bantuan Kebajikan misalnya. Melalui inisiatif Menu Keluarga Malaysia berskala lebih besar ini, kita bakal melengkapi bantuan yang diterima oleh para penerima dengan menu makanan panas (hot meals) ala dapur umum (soup kitchen). Sekiranya inisiatif ini dilaksanakan melalui perancangan dan pelaksanaan yang jitu, inisiatif ini juga bakal menjadi strategi serampang dua mata ini juga bakal mengatasi permasalahan murid bantut tumbesaran akibat ketidakcukupan makanan seperti yang dilaporkan oleh UNICEF pada 2018. Kerana menara gading di negara ini tegak berdiri menggunakan duit rakyat. Dan kini, sudah tiba masanya menara gading kita kembali membumi dan membantu rakyat, sekurang-kurangnya masyarakat sekitarnya melalui inisiatif Menu Keluarga Malaysia 2.0.

 

Dr Mohd Zaidi Md Zabri
Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti
Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya