MELAKA – Kira-kira 30 nelayan di Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri Tanjung Kling, di sini buntu apabila tapak pembinaan balai nelayan baharu di kawasan itu disita Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah.
Ia susulan surat dikeluarkan bertarikh 20 Julai lalu yang meminta mereka mengosongkan tanah rizab pantai itu dalam tempoh 30 hari sedangkan kawasan itu amat diperlukan bagi memudahkan nelayan menyimpan perahu gentian kaca dan peralatan menangkap ikan.
Ketua nelayan, Ali Zainol, 60, mendakwa balai nelayan sebelum ini rosak teruk akibat hakisan pantai sebelum mereka sepakat meruntuhkannya dan memilih kayu serta bumbung yang masih boleh digunakan sebagai tempat berteduh.
“Jadi, kami merayu keprihatinan kerajaan negeri mengatasinya perkara ini kerana selain menjadi tempat berteduh dan menyimpan sampan, terdapat juga pangkin menjual ikan segar.
“Selama ini kami nelayan sepakat mengumpulkan dana bagi membina semula balai itu tetapi terkejut apabila baru-baru ini terdapat notis arahan pengosongan dengan alasan nelayan menceroboh tanah kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, perkara berkenaan amat menghairankan kerana tidak pernah berlaku sebelum ini ketika balai nelayan lama masih wujud.
Seorang lagi nelayan, Abdul Aziz Yahaya, 59, turut meraih simpati kerajaan untuk membantu mereka kerana nelayan tidak mempunyai wang untuk membeli atau membaiki peralatan menangkap ikan yang akan mudah rosak apabila dijemur terlalu lama di bawah panas matahari.
“Jika perlu, kami sedia berbincang dengan Pegawai Daerah Melaka Tengah bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu berkenaan supaya nasib para nelayan tidak dipinggirkan,” katanya. – MalaysiaGazette.