KUANTAN – Ejen Pengurusan yang baharu akan dilantik untuk menggantikan peranan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebelum ini bagi unit-unit pangsapuri Arabian dan Carribean Bay di Bukit Gambang Resort City (BGRC).

Keputusan itu dibuat Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) dalam perjumpaan bersama 10 wakil unit pangsapuri terbabit di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pagi tadi.

Bagaimanapun, wakil pemilik, Ng Keng Hiong kecewa apabila pihak JMB BGRC yang turut dipanggil dalam perjumpaan itu tidak hadir dalam perbincangan berkenaan.

“Tak mengapalah. Tapi kami mengalu-alukan cadangan COB untuk melantik ejen pengurusan baharu dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya dalam masa dua bulan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Ng Keng Hiong

Menurut Ng, perjumpaan tersebut diatur pihak COB bagi menyelesaikan kebimbangan yang disuarakan pemilik bangunan yang tidak diselenggara dan terbiar hampir tiga tahun lalu.

“Hari ini kami tetap ajukan kepada pihak COB beberapa perkara yang perlu diketengahkan sebagai langkah permulaan untuk menyelesaikan isu pangsapuri Arabian dan Carribean BGRC ini,” tambahnya.

Antara perkara yang diketengahkan termasuklah penyelenggaraan bangunan melibatkan JMB, penyata kewangan serta Mesyuarat Agung Tahunan JMB, peranan pemaju, caruman kumpulan wang pengurusan dan peranan MBK sebagai COB.

Wakil unit-unit pangsapuri Arabian dan Carribean Bay di Bukit Gambang Resort City (BGRC) yang hadir perjumpaan bersama Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pagi tadi.

“Sebaik ejen ditentukan nanti, banyak lagi perkara susulan yang perlu diselesaikan seperti penyata kewangan, hak milik strata,”tambahnya.

“Justeru, kami sebagai pemilik memang berharap jasa baik MBK memainkan peranan membantu melantik ejen pengurusan secepat mungkin, membantu pemilik mendapatkan hak mereka dan menyelamatkan bangunan terbabit,” kata Ng.

MalaysiaGazette pada 18 Julai lalu menyiarkan nasib pemilik pangsapuri tersebut yang kecewa dengan keadaan unit kediaman masing-masing yang seolah-olah terbengkalai, tiada bekalan air dan elektrik.

Susulan itu, pada 23 Julai, lebih 25 pemilik pangsapuri terbabit berhimpun menggesa pihak pengurusan BGRC mencari penyelesaian kepada tuntutan bayaran sewa yang tertangguh sejak 2018, selain isu bangunan tidak diselenggara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast