KUALA LUMPUR – Proton X50 mencatat rekod jualan bulanan sebanyak 4,763 unit bagi Julai 2022 untuk menjadi kenderaan terlaris di Malaysia, mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV).
Dalam satu kenyataan hari ini, Proton Holdings Bhd berkata, pencapaian itu juga merupakan kali pertama kenderaan tersebut mendahului pasaran keseluruhan dalam jumlah jualan.
Pengeluar kereta nasional itu menjual sejumlah 11,477 unit meliputi enam model pada Julai, iaitu Proton X50 adalah yang paling laris, diikuti oleh Proton Saga sebanyak 4,521 unit.
“Jumlah keseluruhan volum industri bagi bulan Julai dianggarkan sebanyak 50,500 unit,” katanya.
Menurut kenyataan itu, eksport bagi tahun 2022 setakat ini telah meningkat kepada 3,102 unit, dengan 380 unit pada Julai, melepasi 3,018 unit jualan yang dieksport untuk keseluruhan 2021.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata pencapaian dan kelarisan jualan Proton dalam segmen lain menunjukkan rancangan perniagaan syarikat berada di landasan yang tepat.
“Pelonggaran sekatan perdagangan global telah menjadi rangsangan besar bagi bahagian eksport Proton. Dengan baki lima bulan lagi, syarikat menyasarkan tahun ini menunjukkan pertumbuhan peratusan dua angka walaupun kami peka dengan isu ekonomi yang dihadapi di pasaran luar negara,” katanya. – BERNAMA