Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) diunjur dapat mencapai sasarannya untuk mengembangkan saiz dana kasar sebanyak RM200 billion menjelang tahun 2025.

Dalam tempoh sama, KWAP juga dijangka meningkatkan jumlah aset harta kepada lebih 30 berbanding 17 sekarang serta mempunyai lebih 35 subsidiari.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin unjuran itu akan dicapai melalui inisiatif Teras 5 yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024.

Teras 5 akan memastikan organisasi ini bersedia untuk mencapai visi baharunya untuk menjadi dana persaraan yang menyokong pembangunan negara dengan terus menyampaikan manfaat bagi ahli-ahlinya.

Inisiatif ini akan memacu transformasi KWAP kepada sebuah organisasi yang tangkas serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi KWAP untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pesara serta membentuk ekosistem pencen yang lebih dinamik.

”Saya yakin bahawa KWAP telah mengambil tindakan yang tepat pada masanya, untuk melancarkan Teras 5. Ini sememangnya sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengoptimumkan kekuatan GLIC (syarikat pelaburan milik kerajaan), sekali gus mengukuhkan ekonomi Malaysia dan melindungi keperluan fiskal semasa dan masa depan negara,” katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran Teras 5 KWAP.

Teras 5 adalah sebahagian daripada pandangan jangka panjang KWAP untuk menyokong pertumbuhan yang mampan untuk memanfaatkan pesara hari ini dan pada masa hadapan.

Ia berdasarkan peningkatan lima pemboleh, iaitu struktur, tadbir urus, manusia, proses dan digital, yang akan memacu lapan aliran kerja – struktur organisasi, perusahaan,pelaburan, perkhidmatan caruman dan persaraan, digital, kakitangan dan budaya, perkhidmatan korporat dan risiko serta tadbir urus dan pengawasan.

Lapan aliran kerja telah ditetapkan untuk memacu pelaksanaan 44 inisiatif, termasuk inisiatif utama mengenai penjajaran semula pejabat hadapan, tengah dan belakang, penstrukturan semula organisasi ke arah struktur berasaskan rantaian nilai dan penghalusan rangka kerja tadbir urus seluruh kumpulan.

Sejak ditubuhkan pada 2007, KWAP telah berkembang maju sebagai sekumpulan syarikat yang telah meluaskan portfolio pelaburannya sebanyak tiga kali ganda dari dana bernilai RM41.9 bilion pada 2007 kepada sekitar RM159 bilion pada hari ini.

Selain daripada menguruskan dana persaraan, KWAP turut dilantik kerajaan sebagai ejen untuk melaksanakan perkhidmatan pembayaran persaraan pada tahun 2015 dan telah mencapai skor tahap perkhidmatan sebanyak 98 peratus pada tahun lalu.

KWAP  juga kekal fokus dalam memainkan peranannya sebagai rakan persaraan bagi pihak kerajaan dan juga pesara, membantu bakal pesara untuk membuat persiapan bagi menempuh alam persaraan.

Selain itu, ia diwujudkan bagi memenuhi tanggungan pencen negara yang semakin meningkat.

Tengku Zafrul berkata, masalah ini tidak terhad hanya di Malaysia kerana dengan kemajuan perubatan dan peningkatan jangka hayat di kebanyakan negara di dunia masalah ini merupakan isu global.

Hakikatnya, isu ini perlu ditangani dan diselesaikan oleh para penggubal dasar di seluruh dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast