Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ketidakhadiran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz di Dewan Rakyat untuk membentangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) hari ini menjadi isu bagi pembangkang.

Teresa Kok (PH-Seputeh) bangun mempersoalkan perkara itu apabila RUU yang dibentangkan hari ini hanya dibaca oleh Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.

“Semua RUU hari ini dijawab oleh Timbalan Menteri, mereka tidak ada kuasa seperti menteri. Adakah ini kerana BN nak hantar dia turun padang di Selangor untuk jadi poster boy BN pada PRU akan datang.

“Ini menunjukkan dia tidak bertanggungjawab dan tidak patut dijadikan calon Menteri Besar Selangor,” kata ketika mencelah perbahasan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan).

Menjelaskan perkara itu, Bung Mokhtar berkata, kedua-dua timbalan menteri mempunyai kuasa untuk membentangkan dan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh semua Ahli-ahli Parlimen.

“Seputeh, Timbalan-timbalan Menteri mereka ada kuasa untuk jawab dan sebab itu menteri sudah beri kuasa untuk menjawab untuk memastikan rakyat menerima jawapan yang tepat.

“Poster boy itu dia punya hal lah, sebab itu kalau kamu (Teresa Kok) mahu dia, minta DAP sokong (Tengku Zafrul) di Selangor,” kata Bung Mokhtar.

Sejak sesi Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul, hanya Yamani Hafez yang membentangkan tiga RUU di Dewan Rakyat hari ini.

Antaranya, Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2022 yang sedang dibahaskan sekarang.

Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Selangor, Tan Sri Noh Omar mengumumkan Tengku Zafrul dilantik sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu berkuat kuasa serta-merta menggantikan Datuk Seri Jamal Md.Yunos.

Jamal dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN negeri. – MalaysiaGazette