Sukarelawan Peljar UMT membantu dalam urusan pelajar baharu.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima 379 pelajar sempena sesi pendaftaran kemasukan pelajar masing-masing terdiri daripada 93 orang bagi Diploma Perikanan dan 286 untukAsasi STEM secara fizikal semalam.

Pengarah Pusat Asasi STEM, Profesor Madya Dr. Laili Che Rose berkata, pendaftaran secara pandu lalu di Dewan Sultan Mizan, UMT dan perkarangan Kolej Kediaman berjalan lancar dengan bantuan para petugas dan sukarelawan pelajar.

Tambahnya, pelajar hanya perlu mendaftar secara fizikal serta mengambil kunci bilik secara pandu lalu dan selesai tidak sampai dua minit bagi setiap pelajar.

“Asasi STEM merupakan program khusus bagi tujuan melahirkan lebih ramai pelapis saintis negara yang mana STEM itu sendiri bermaksud Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

”Kami juga menambah baik modul pengajaran supaya selaras dengan pengiktirafan antarabangsa, sekali gus memudahkan pelajar Asasi UMT menyambung pengajian samada dalam atau luar negara.

Seorang kakitangan keselamatan melakukan pemeriksaan kenderaan yang memasuki UMT semasa sesi pendaftaran semalam.

Menurut beliau, lebih banyak kepakaran dalam bidang STEM diperlukan untuk pembangunan sesebuah negara.

”Perkembangan teknologi dan digitalisasi dalam semua aspek kehidupan pada masa kini memerlukan negara mempersiapkan generasi pelapis yang berupaya menguasai bidang-bidang tersebut.

”Namun, graduan STEM masih kurang atau semakin berkurangan. Pihak industri juga kekurangan pekerja yang berkemahiran STEM. Oleh itu, UMT menyahut cabaran untuk memperkasakan STEM ini melalui pelbagai aktiviti berasaskan sains dan teknologi di pelbagai peringkat termasuk sekolah rendah,” katanya.

Muhammad Yassin Amaluddin Nadim.

Turut sama mendaftar seorang pelajar orang asli yang berasal dari Johor iaitu Muhammad Yassin Amaluddin Nadim.

Dia begitu teruja menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di UMT dan ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke negeri ini.

Menurutnya, dia dan ayahnya bertolok malam tadi dari Johor dengan menaiki bas dan tiba di Kuala Terengganu seawal pagi tadi.

Walaupun pihak universiti menyediakan pengangkutan dari stesen bas ke UMT, dia dan ayahnya lebih selesa menggunakan kenderaan e-heiling untuk merasai pengalaman menaiki Jambatan Angkat serta menikmati panorama Kuala Terengganu.

Manakala bagi pasangan kembar, Fatin Atiqah Izzati Muhamad Safiih dan adiknya Muhammad Izzuddin yang berasal dari Terengganu bersyukur kerana dapat melanjutkan pelajaran bersama di UMT dan tidak perlu berpisah.

Meminati bidang sains sejak dibangku sekolah rendah telah membawa mereka untuk menerokai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di UMT.

Kesemua pelajar akan menjalani Minggu Jalinan Mesra (MJM) sehingga 3 Ogos nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast