Keadaan bot milik seorang kelasi yang terbalik di Lautan Atlantik. Foto Reuters

MADRID – Seorang lelaki Perancis berusia 62 tahun terselamat selepas 16 jam berada di laut dengan hanya menggunakan gelembung udara di dalam botnya yang terbalik.

Bot sepanjang 12 meter itu, telah berlayar dari ibu negara Portugal, Lisbon, menghantar isyarat kecemasan lewat petang Isnin dari Lautan Atlantik.

Pengawal pantai Sepanyol menemui bot yang terbalik, tetapi keadaan laut bergelora menyukarkan operasi menyelamat dan terpaksa menunggu sehingga pagi.

Kelangsungan hidup lelaki itu “hampir mustahil”, kata penyelam pengawal pantai.

Botnya menghantar isyarat kecemasan pada 20.23 waktu tempatan pada hari Isnin, 14 batu (22.5 km) dari Kepulauan Sisargas, berhampiran wilayah Galicia barat laut Sepanyol.

Sebuah kapal penyelamat yang membawa lima penyelam serta tiga helikopter berlepas untuk mencari dan menyelamatkan lelaki itu.

Setakat ini identiti lelaki itu belum didedahkan.

Seorang penyelam bertindak mengetuk badan kapal untuk mencari tanda-tanda wujud mangsa hidup dan lelaki itu bertindak balas dengan memukul dari dalam.

Ketika laut bergelora dan matahari sudah terbenam, pasukan penyelamat terpaksa memasang belon pelampung pada bot untuk menghalangnya daripada karam dan menunggu sehingga pagi.

Keesokan harinya, dua penyelam berenang di bawah bot untuk membantu kelasi itu keluar.

Ketika itu, mangsa memakai sut getah dan tubuhnya tenggelam dalam air sehingga paras lututnya.

Para pasukan penyelamat terpaksa membantu mangsa ke permukaan laut kerana sut yang dipakainnya menyukarkan dia keluar.

Dalam tweet, Persatuan Keselamatan dan Penyelamat Maritim Sepanyol berkata: “Setiap nyawa yang diselamatkan adalah ganjaran terbesar kami”. – BBC