KUALA LUMPUR – Selepas 11 tahun membina rumah tangga bersama, akhirnya ikatan perkahwinan antara vokalis Noh Salleh dan isterinya Mizz Nina terlerai.
Perkembangan itu dimaklumkan mereka dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram masing-masing.
“Selepas berfikir secara mendalam dan membuat pertimbangan yang teliti, kedua-dua kami bersetuju untuk membawa haluan masing-masing.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan kami menghabiskan 11 tahun yang indah bersama-sama dengan pelbagai suka duka.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong kami atas limpahan kasih sayang kepada kami selama ini. Jangan bimbang, kami masih berkawan dan mendoakan kebaikan untuk satu sama lain.
“Kita merancang tapi Allah menentukan,” kata mereka.
Pasangan selebriti itu juga memohon semua supaya mendoakan dan menghormati privasi mereka terutamanya sepanjang tempoh iddah. – MalaysiaGazette