Pihak polis memantau premis siber kafe yang menjadi lokasi pelajar ponteng sekolah di daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Sebanyak 12 lokasi panas yang menjadi port lepak pelajar ponteng sekolah di sekitar daerah Seberang Perai Utara di sini, digempur polis semalam.

Antara lokasi itu ialah tempat permainan Taman Seri Murni, Gaming World Jalan Raja Uda Butterworth, Pekan Kepala Batas, kawasan sawah serta belakang tembok pagar sekolah.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pemantauan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu dilakukan oleh 23 pegawai dan anggota polis dari BPJKK Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

Jelas beliau, hasil pemantauan itu membawa kepada penemuan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang sedang bermain permainan video di pusat siber kafe.

Premis siber kafe antara lokasi yang dikenal pasti port lepak pelajar ponteng sekolah.

“Hasil semakan mendapati pelajar daripada sebuah sekolah menengah di Permatang Pauh itu sudah tidak hadir ke sekolah sejak Julai lalu.

“Pelajar lelaki itu diberi nasihat sebelum diserahkan kepada penjaga untuk dibawa balik ke rumah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut Nasri berkata, pemantauan itu dilakukan dengan kolaborasi 14 sekolah menengah yang dikenal pasti di daerah terbabit.

“Operasi ponteng sekolah ini dilakukan untuk memberi kesedaran kepada pelajar supaya menghindari budaya ponteng sekolah.

“Ia juga sebagai langkah komprehensif daripada pelbagai pihak dan agensi untuk mencegah isu ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dilaporkan meningkat.

“Operasi ini akan diteruskan dari masa ke masa membabitkan lima daerah di negeri ini,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta ibu bapa untuk memainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak mereka daripada terjebak dalam kegiatan ponteng sekolah serta salah laku sosial.

Media pada 26 Julai lalu melaporkan, jumlah kehadiran pelajar ke sekolah di negeri ini merosot pada sesi tahun ini malah terdapat kelas yang mencatatkan kehadiran hanya empat orang pelajar sahaja dalam sehari.

Mengikut data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang merekodkan seramai 529 pelajar tercicir dan hanya datang ke sekolah pada hari tertentu seperti peperiksaan sahaja.

Daripada Jumlah itu, seramai 246 pelajar yang ditemui telah menyatakan tidak mahu lagi ke sekolah. – MalaysiaGazette