Peralatan utama LCS diperincikan. oleh BNS.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Boustead Naval Shipyard (BNS) didapati telah mengabaikan pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, pada asalnya, reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan.

Tetapi keputusan tersebut telah diubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan syarikat BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

”Memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, Panglima Tentera Laut pada ketika itu, keputusan tersebut adalah “something is gravely wrong,” katanya ketika membentangkan laporan PAC berhubung perkembangan perolehan kapal LCS.

Perolehan kapal itu membabitkan nilai kontrak RM9.1286 bilion antara 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023.

Menurutnya, ketekunan wajaran yang yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut dan ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion
kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu.

Malah, katanya, kedudukan kewangan syarikat BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan.

Setakat tahun 2018, hutang syarikat BNS kepada pengilang peralatan asal (OEM) adalah sebanyak RM801 juta manakala pinjaman syarikat BNS dengan institusi kewangan adalah sebanyak RM956 juta.

Syarikat BNS juga telah melantik syarikat CAD dan CED untuk membeli peralatan daripada OEM menyebabkan kos pembelian bertambah berkali ganda.

Katanya, syarikat CAD dan CED merupakan syarikat usaha sama antara BNS (51%) dan RAD (49%) yang mana RAD mempunyai kawalan penuh ke atas CAD dan CED.

Malah, laporan Pengauditan Forensik mendapati peranan CAD dan CED dalam projek LCS amat meragukan, apatah lagi terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan.

”Pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar. Ini adalah luar biasa dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1%
(bayaran sebanyak 63.8% berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7%).

“Sehingga kini, reka bentuk terperinci masih belum lagi dimuktamadkan oleh kerajaan dan syarikat BNS. Hal ini menyebabkan VO dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku.

“Pembayaran diterima daripada kerajaan oleh syarikat BNS tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya menyebabkan syarikat BNS menghadapi suatu cost overrun (kos melebihi) sebanyak RM1.4005 bilion. Daripada amaun tersebut, sejumlah RM400
juta telah digunakan untuk menyelesaikan hutang lapuk projek lama NGPV dan peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15% telah pun usang (obsolete),” terang beliau.

Kah Woh berkata, sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan tujuh perkara kepada Kerajaan untuk dilaksanakan seperti berikut:

i. Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia dinyahklasifikasikan sepenuhnya;

ii. Insiden perubahan pemilihan reka bentuk kapal LCS daripada SIGMA kepada GOWIND harus dijadikan pengajaran bagi perolehan pada masa hadapan. Perolehan peralatan dan kelengkapan pertahanan negara harus mengutamakan
keperluan end user iaitu TLDM dalam kes ini, dan secara amnya bagi segala projek dan perolehan di masa hadapan selari dengan Kertas Putih Pertahanan 2020-2030;

iii. Kementerian perlu membentangkan perancangan perolehan ketenteraan substantif kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari masa ke masa dengan melibatkan semua pihak berkepentingan demi
kesiapsiagaan pertahanan negara;

iv. Pentadbiran Kontrak Kerajaan haruslah diperkemaskan untuk meminimumkan Arahan Perubahan Kerja (VO) bagi mengelakkan peningkatan kos projek;

v. SPRM perlu mengambil tindakan ke atas segala penemuan Laporan PAC, Laporan JKSTUPKK, dan Laporan Pengauditan Forensik dengan kadar segera. Pendakwaan harus disegarakan;

vi. MINDEF perlu melihat semula kesemua opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab;

vii. MINDEF perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek LCS disempurnakan. – MalaysiaGazette