KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian yang menawarkan komisen lumayan serta menjual barangan tidak wujud dengan tertangkapnya lima individu dalam serbuan di Cyberjaya, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sindiket tersebut yang beroperasi sejak bulan lalu menjadikan sebuah apartment di Cyberjaya sebagai pusat panggilan.
Kata beliau, polis setakat ini telah menerima 31 kes laporan polis membabitkan anggaran kerugian mangsa sebanyak RM843,996.
“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu didalangi warga tempatan dan warga asing selepas serbuan di unit apartment itu jam lebih kurang 11.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Sepang itu berjaya memberkas lima individu dipercayai ahli sindiket tersebut.
“Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita tempatan yang berumur lingkungan antara 17 tahun hingga 32 tahun,” katanya dalam sidang media khas kejayaan Komersil menumpaskan sindiket itu di IPD Sepang hari ini.
Katanya, pemeriksaan di apartment milik suspek membawa kepada rampasan pelbagai peralatan antaranya lima buah komputer riba dan lima buah telefon bimbit.
Tambah beliau, siasatan mendapati suspek sindiket itu menawarkan pekerjaaan kepada mangsa menerusi dalam talian sebelum menjerat mereka.
Menurutnya, setiap mangsa yang terpedaya dengan tawaran sindiket itu dikehendaki menjual barangan kepada pelanggan dengan menjanjikan komisen sebanyak 10 peratus berdasarkan nilai setiap barang yang dijual dalam talian itu.
“Bagaimanapun, berdasarkan aduan yang diterima polis mendapati mangsa yang direkrut sebagai pekerja untuk menjual barangan sebenarnya tidak dibayar komisen seperti yang dijanjikan sindiket itu.
“Lebih mengejutkan, pelanggan iaitu mangsa yang membeli barangan yang diiklankan sindiket dalam talian turut tidak menerima barangan selepas bayaran dibuat untuk produk itu,” katanya.
Ujar beliau, kesemua 31 laporan polis yang diterima polis setakat ini adalah membabitkan mangsa dari seluruh negara
“Kesemua suspek yang ditahan kini telah direman tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” kata beliau. – MalaysiaGazette