Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima buku Laporan Khas Tahun 2020 daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mewujudkan Mahkamah Khas Rasuah dalam semua peringkat penghakiman termasuk Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim berkata, ia bagi memastikan hakim-hakim yang mempunyai kepakaran jenayah rasuah tidak ditukar ganti sewenang-wenangnya.

“Langkah ini bagi memastikan hakim-hakim berkepakaran ini (jenayah rasuah) tidak ditukar ganti mengikut musim.

“Ia akan memberi satu suasana ketetapan, kepakaran, juga kejituan mahkamah itu khusus mengenai rasuah,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Rais menyerahkan Buku Laporan Tahunan JKMR tahun 2020 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pejabat Perdana Menteri, di Parlimen.

JKMR perlu menyedia dan menyerahkan laporan itu mengenai penunaian fungsi Jawatankuasa Khas kepada Perdana Menteri seperti diperuntukkan dalam Seksyen 14 (5) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

JKMR dianggotai tujuh ahli jawatankuasa, terdiri daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat selaku pengerusi, empat ahli Dewan Negara dan dua ahli Dewan Rakyat.

Jawatankuasa ini berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai aspek atau masalah rasuah di negara ini, memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dan mendapatkan penjelasan serta penerangan mengenai laporan tahunan SPRM.

Dalam pada itu, JKMR juga mengesyorkan agar prosedur dan jaminan barang kes oleh SPRM seperti wang tunai dan barang kemas bernilai jutaan ringgit ditadbir urus dan disimpan oleh Bank Negara atau bank bertauliah.

“Syor ini bagi mengelakkan barang kes hilang dan dicuri ketika dalam simpanan SPRM,” katanya.

Tambah Rais, syor mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah berkait rapat dengan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 negara yang terus jatuh ke tangga ke-62.

“Justeru ini perlu diambil kira dan kami telah kemukakan (laporan dan syor) dan ini merupakan salah satu cabaran besar agar mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Selain itu, JKMR juga mengesyorkan agar SPRM menyeragamkan penggunaan pakaian oren kepada tertuduh yang terlibat dengan jenayah rasuah

“Sesetengah dikenakan baju lokap SPRM warna oren, sementara yang lain dibenarkan berpakaian segak kot dan tali leher,” katanya.

Turut disyorkan JKMR ialah disiplin dalaman SPRM, meningkatkan tahap keyakinan rakyat terhadap agensi itu, desakan SPRM diletak di bawah pengawasan Parlimen serta mewujudkan undang-undang dana politik. – MalaysiaGazette