Keadaan Jalan Sultan Azlan Shah menuju Jalan Ipoh dinaiki banjir kilat selepas berlaku hujan lebat petang ini ketika tinjajuan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 APRIL 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengkaji semula serta melaksanakan pelan pengurusan mitigasi banjir dan penambahbaikan sistem saliran utama yang berkesan untuk tebatan banjir terutama di ibu kota.

Sehubungan itu, sebuah syarikat tempatan, Green Area Technology Asia (GAT Asia) tampil menawarkan diri untuk memberi sumbangan kepada kerajaan bagi mengatasi masalah banjir yang semakin kerap melanda di beberapa tempat dalam negara.

Pengarah Eksekutifnya, Ammar Suhaimi berkata, hasil kajian yang dijalankan GAT Asia mendapati pembangunan pesat di bandar utama menjadi salah satu faktor sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung limpahan setiap kali hujan lebat.

Justeru, GAT Asia tampil menawarkan solusi dan kaedah yang menyeluruh serta sedia bekerjasama dengan kerajaan pusat di peringkat kementerian hingga pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan isu berkenaan banjir kilat di seluruh negara terutama di kawasan bandar-bandar utama di negara ini.

“Berbekalkan pengalaman, pengetahuan, sumber, kemahiran dan teknologi terkini, GAT Asia sedia memberi sumbangan kepada kerajaan dan bertindak secara kolektif bagi menyelesaikan masalah berkenaan sistem saliran untuk tebatan banjir negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ammar Suhaimi (kiri)

Tambahnya, sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji semula sistem pengurusan mitigasi banjir serta penambahbaikan sistem saliran utama yang berkesan untuk tebatan banjir terutama di ibu kota.

Sementara itu, kejadian banjir kilat semakin kerap dilaporkan media sejak kebelakangan ini turut menimbulkan kerisauan bagi kebanyakan penduduk berisiko.

Semalam, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di bandar raya Johor Bharu yang disifatkan sebagai antara terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.

Rakaman video oleh orang awam yang dikongsikan di laman media sosial turut memaparkan beberapa jalan utama dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air dan Jalan Yahya Awal.

Malah kawasan letak kenderaan di bandar raya itu turut digenangi air banjir antaranya di Hospital Sultanah Aminah, parkir awam di Jalan Ayer Molek dan Kampung Baru Mohd Amin. – MalaysiaGazette