MELAKA – Kerajaan yakin industri kreatif akan kekal berperanan penting dan berpotensi besar untuk dikembangkan, sekaligus memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, adalah menjadi harapan beliau industri itu akan berkembang sebagai satu lagi cabang industri yang turut berkembang sama sewaktu negara menuju era Revolusi Industri 4.0.
“Atas sebab itulah, K-KOMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) mengambil suatu inisiatif bukan sahaja untuk menghidupkan kegiatan industri kreatif di ibu kota Kuala Lumpur, tetapi sebaliknya kita bawa dalam satu siri jelajah dari satu negeri ke satu negeri.
“Ini bagi membolehkan kita memberikan peluang serta mencungkil bakat-bakat industri kreatif dalam pelbagai bidang yang ada di setiap negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kembara RIUH Keluarga Malaysia Edisi Ke-3: RIUH NAU di Dataran Pahlawan Megamall, di sini, malam ini yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Hadir sama, Ketua Setiausaha K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, sambutan RIUH NAU bagi edisi negeri Melaka malam ini menjadi pelengkap kepada jelajah RIUH selepas Johor, Sabah dan Kelantan.
“Seperti mana yang kita tahu, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) industri kreatif amat terkesan sekali apabila penggiat industri kreatif tidak dapat menjalankan kerja mereka masing-masing.
“Ini menjadikan industri kreatif mengalami penguncupan dari segi perkembangan dan sumbangannya kepada pertumbuhan KDNK
negara,” katanya.
Tambahnya, dunia juga mengetahui industri kreatif memainkan peranan yang cukup besar bukan sahaja dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan pelaburan.
“Sebaliknya, ia juga telah menghidupkan seni dan warisan negara serta memainkan peranan yang besar dalam pembinaan negara
bangsa,” katanya. -MalaysiaGazette