Hospital Tengku Ampuan Afzan

KUANTAN – Kebakaran kecil di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira pada jam 12 tengah hari hanya menjejaskan bekalan elektrik kepada sistem perubatan, termasuk sistem penghawa dingin dan hampagas, di blok utama hospital itu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kejadian melibatkan kebakaran pada Main Switch Board (MSB) di blok bangunan bersebelahan dengan bangunan unit sajian hospital.

“Kebakaran tersebut telah dapat dikawal oleh petugas syarikat konsesi dengan segera dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Nor Azimi, sistem bekalan oksigen dan bekalan umum seperti lampu, kipas dan telefon tidak terjejas dalam insiden tersebut.

“Ia hanya menjejaskan bekalan elektrik kepada sistem perubatan termasuk sistem penghawa dingin dan hampagas di blok utama hospital,” tambahnya.

Bagaimanapun, Nor Azimi memaklumkan hampir keseluruhan sistem yang terjejas telah dapat dipulihkan tepat jam 8.00 malam tadi.

Sementara itu, beliau memberitahu, operasi di wad, dewan bedah dan Unit Rawatan Rapi (ICU) berjalan seperti biasa tanpa perlu melakukan pemindahan pesakit.

Dalam pada itu, pasukan forensik Bomba dan Penyelamat terus melakukan pemeriksaan dan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Bagi mengelakkan kejadian berulang, katanya, pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kesiapsiagaan pada tahap terbaik termasuk semua petugas HTAA. – MalaysiaGazette