Harris Idaham Rashid

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pulau Pinang digesa tidak menyambung prosiding mahkamah untuk membatalkan kelayakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang sebelum ini berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Jelas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Harris Idaham Rashid, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kelayakan wakil rakyat itu tidak terjejas akibat daripada tindakan mereka sebelum itu.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti telah pun diluluskan di Dewan Rakyat untuk memberi makna yang jelas berkenaan tindakan- tindakan yang boleh melucutkan seseorang itu daripada terus menjadi ahli Parlimen. Parti Bersatu menyokong penuh pindaan ini.

“Pindaan ini jelas menyatakan bahawa seseorang itu tidak gugur sebagai ahli Parlimen sekiranya orang itu dipecat oleh parti politik
yang dianggotai.

“Antara lain, seorang ahli Parlimen juga tidak gugur sebagai ahli Parlimen sekiranya parti politik yang dianggotainya membuat keputusan dasar untuk menukar penjajaran dan sokongan terhadap sesebuah gabungan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Ketua Penerangan Armada Pulau Pinang itu berkata, DAP yang menyokong pindaan berkenaan sepatutnya tidak menentang saranannya.

“Mmandangkan PH khususnya DAP telah menyokong penuh pindaan tersebut di Dewan Rakyat, mereka perlu membuktikan komitmen mereka dan melaksanakan pindaan yang sama di peringkat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan pindaan tersebut demi menghormati persetujuan yang telah dicapai oleh kesemua 209 ahli Parlimen yang mengundi pindaan tersebut termasuklah ahli Parlimen dari DAP sendiri,” ujarnya.

Empat ADUN yang sebelum ini berada dalam PH kemudian menyertai Perikatan Nasional (PN) adalah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Kesemua ADUN itu telah memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong PN.

Bagaimanapun usul tersebut ditangguh bagi mengelak penularan Covid-19.

Keempat-empat ADUN berkenaan turut memfailkan saman untuk menghentikan kerusi disandang tidak dikosongkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast