Gambar hiasan.

SIBU – Seorang kanak-kanak lelaki hilang selepas perahu yang dinaiki bersama ibu bapa dan adik perempuannya karam hari ini akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Batang Rajang berdekatan Kapit, kira-kira 167 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian berkata, kehilangan Jenggut Antas, 10, dilaporkan oleh bapanya, Antas Agang, 38, yang terselamat bersama isteri dan anak perempuannya dalam insiden yang berlaku kira-kira 8 pagi tadi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat oleh Antas, semasa menghampiri sebuah dermaga batu di seberang bandar Kapit enjin perahu yang dinaiki keluarga itu tiba-tiba mati dan gagal dihidupkan semula.

“Perahu itu kemudian dihanyutkan air deras dan berlanggar dengan tongkang yang berlabuh di dermaga batu lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 11.30 pagi melibatkan tiga anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kapit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang masing-masing menghantar empat anggota. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast