Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Saksi utama perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa sanggup berhabis sehingga RM19 juta untuk menutup siasatan kes berkenaan.

Malah saksi ke-23 itu, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli mendakwa beliau berbohong untuk membantu melindungi Guan Eng dari terpalit dari kes rasuah tersebut yang ketika itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun prosiding hari ini berjalan dalam keadaan tegang ketika pemeriksaan balas oleh peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo semasa menyoal balas Zarul.

Ada ketika Zarul tidak dapat menjawab soalan-soalan Gobind yang mengasaknya yang sanggup berbohong kepada umum bagi melindungi Guan Eng.

Bagaimanapun dakwa Zarul, beliau tidak diberi kebenaran untuk menjelaskan keadaannya bagi menipu yang hanya dilakukan untuk melindungi Guan Eng.

“Saya tidak akan sesekali gigit tangan yang telah banyak berjasa kepada saya, mengapa perlu saya gigit tangannya? Saya hanya berbohong untuk lindungi Guan Eng,” katanya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Saksi utama, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 OGOS 2022.

Dalam pada itu, Zarul juga mendedahkan bagaimana beliau terpaksa membayar RM19 juta kepada seorang kaki tipu kononnya mengenali rapat perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sebelum menipunya jutaan ringgit.

“Seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja mengaku kenal rapat dengan perdana menteri dan saya membayarnya RM19 juta untuk ‘merasuah’ Datuk Seri Najib bagi melindungi Guan Eng.

“Saya sanggup bayar kerana menyangka Gnanaraja sememangnya boleh menghentikan siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) terhadap Guan Eng,” dakwanya lagi.

Tambah Zarul, beliau kemudian berunding dengan Gnanaraja agar wang itu dikurangkan.

Prosiding bersambung pagi Isnin depan.

Ketika ini mahkamah sedang mendengar kes Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sedang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Guan Eng itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – MalaysiaGazette