BANGKOK – Sekurang-kurangnya 13 orang maut manakala lebih 35 lagi cedera dalam satu kebakaran di sebuah kelab malam yang sesak dengan pengunjung, di wilayah Chonburi, tenggara Bangkok pada Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira 1 pagi (waktu tempatan) di bar Mountain B yang baharu dibuka di daerah Sattahip, Chonburi.

Pegawai dari Institut Perubatan Forensik, Hospital Polis di Bangkok, Kolonel Pongsakorn Thitichot berkata, sembilan lelaki dan empat wanita maut di tempat kejadian.

“Pasukan penyelamat menjumpai 13 mayat rentung dan 11 daripadanya dapat dikenal pasti. Kesemua mayat akan dibawa ke Hospital Polis di Bangkok lewat petang ini.

“Bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematian,” katanya pada sidang media di Bangkok pada Jumaat.

Sementara itu, Komander Polis Daerah Chonburi. Mejar Jeneral Atthasit Kitchahan berkata. lebih 35 mangsa cedera, dengan lapan daripadanya dalam keadaan kritikal.

“Siasatan mengenai punca kebakaran masih dijalankan,” katanya.

Media tempatan melaporkan bahawa kebakaran bermula ketika acara persembahan muzik sedang berlangsung, pengunjung yang panik bertindak melarikan diri melalui pintu depan sejurus api mula marak.

Saksi berkata, kebakaran bermula dari bumbung, sebelum merebak dengan pantas selepas gabus kalis bunyi terbakar.

Lebih 20 jentera bomba dihantar ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran, dan api dapat dipadamkan sepenuhnya selepas dua jam.

Kelab malam satu tingkat itu baharu dibuka kira-kira sebulan lalu dan popular dalam kalangan anak muda tempatan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast