MELAKA – Seorang pemuda dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan bekas kekasihnya dan seorang lagi wanita minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Syazwan Mohd Nasir, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Nurshafiqa Zulhainan, 23, menggunakan pisau di lorong rumah pangsa Pengkalan Rama, Jalan Tun Sri Lanang, di sini, kira-kira jam 6.20 petang 29 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, dia yang bekerja sendiri dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Tertuduh turut berdepan tuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan seorang lagi wanita, Siti Nur Hidayah Samdin, 25, yang merupakan rakan Nurshafiqa pada tarikh, masa, tempat dan menggunakan senjata sama.
Jika disabitkan dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan 18 Ogos ini untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pada 29 Julai lalu MalaysiaGazette melaporkan polis Melaka sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai menikam bekas kekasihnya selain turut mencederakan rakannya di kawasan kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang.
Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menolak ajakan bekas teman lelakinya untuk keluar bersama setelah wanita itu memutuskan hubungan mereka pertengahan Julai lalu. – MalaysiaGazette