KUALA LUMPUR – Wakil pemandu e-hailing dan p-hailing dijadualkan bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Isnin ini bagi membincangkan isu berbangkit sehingga mengakibatkan ketidakpuasan hati sejak kebelakangan ini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin berkata, pada masa sama pihaknya juga akan mengatur pertemuan e-hailing dan p-hailing dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, beberapa libat urus akan dirancang bagi memastikan masalah yang dihadapi golongan berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.
“Kesungguhan pihak kerajaan dilihat amat tinggi terhadap pembelaan mereka. Sebab itu kerajaan luluskan usul Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), insurans yang diumumkan dalam bajet sebelum ini telah dilaksanakan.
“Cuma masih ada dua tuntutan belum dilaksanakan iaitu badan kawal selia dan pengiktirafan mereka sebagai pekerja. Saya akan bersama membantu mereka dan Perdana Menteri juga serius untuk membela mereka.
“Sesi begini kita akan teruskan dan pentingnya, hari Isnin nanti, kita dah aturkan bersama Menteri Pengangkutan. Selepas ini, kita akan bawa kumpulan ini untuk bertemu Kementerian Sumber Manusia supaya perkara ini lebih cepat diselesaikan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Terdahulu, beliau bertemu wakil daripada e-hailing dan p-hailing bagi membincangkan isu yang menjadi pertikaian kumpulan itu.
Turut hadir, Timbalan Presiden Grab Driver Malaysia Association (GDMA), Mohd Azril Ahmat dan Timbalan Presiden Persatuan Penghantar E-hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani.
Antara isu dibangkitkan dalam pertemuan itu adalah caj perkhidmatan penghantaran yang disifatkan tidak berbaloi kerana semakin rendah.
Turut dibincangkan berkaitan lambakan penghantar p-hailing serta beberapa isu lain.
Terdahulu media melaporkan rakan kongsi penghantaran Grab tidak berpuas hati dengan kadar rata semasa yang dibayar bagi setiap penghantaran, sehingga mencetuskan perancangan gerakan boikot selama sehari pada hari ini.
Mereka mendakwa tidak diberi upah yang setimpal, terutamanya yang mengambil masa yang lebih lama untuk disiapkan.
Bagaimanapun, Grab Malaysia berkata, syarikat itu tidak mengurangkan upah untuk perkhidmatan penghantaran, sebaliknya ia merupakan isu terpencil. – MalaysiaGazette