Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyempurnakan Majlis Pelancaran MAHA 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 06 OGOS 2022.

SERDANG – Kerajaan terus berusaha dalam menangani manipulasi orang tengah dan kartel dalam sektor pertanian serta bekalan makanan yang menjadi penyebab kenaikan harga barang dan inflasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam perkara itu dan ia merupakan satu amaran tegas.

“Semalam, MyCC (Suruhanjaya Persaingan Malaysia) juga telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersengkongkol dalam menaikkan harga makanan ayam.

“Beberapa langkah intervensi telah dilaksanakan kerajaan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP), melaksanakan sekatan eksport ayam, mewujudkan stok pail ayam dan ikan.

“Dalam langkah intervensi ini, kerajaan buat pertama
kalinya memberikan subsidi berjumlah RM1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekaligus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pertanian dan Indsutri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Perdana Menteri berkata, langkah-langkah itu terbukti telah menunjukkan kejayaan di mana bekalan ayam hari ini bukan sahaja berlebihan bahkan harganya juga lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sebagai sebahagian langkah memperkasakan sistem sekuriti makanan negara, kerajaan menerusi MAFI akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan melibatkan keseluruhan sektor agromakanan.

Ujarnya, sebagai permulaan, subsektor padi dan beras telah dipilih sebagai projek rintis kementerian yang bakal memanfaatkan seramai 189,500 pesawah padi sebelum diperluas secara peringkat kepada sektor lain seperti perikanan, tanaman dan subsektor industri makanan lain.

Katanya lagi, skim itu bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit.

“Para pesawah akan dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit,” tambahnya. – MalaysiaGazette