Seramai 50 pengunjung Pemeran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 hari ini menjadi pelanggan bertuah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) apabila dapat membeli ayam dengan potongan sehingga 75 peratus melalui jualan “Happy Hour”.

SERDANG – Seramai 50 pengunjung Pemeran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 hari ini menjadi pelanggan bertuah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) apabila dapat membeli ayam dengan potongan sehingga 75 peratus melalui jualan “Happy Hour”.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob berkata melalui jualan “Happy Hour” yang diadakan secara berkala setiap hari mulai hari ini hingga 14 Ogos pelanggan bertuah dapat menikmati empat produk ayam jenama Peladang dengan harga serendah RM5 sebungkus.

“Pada hari ini, kita berjaya menjual 100 bungkusan produk peladang yang merupakan Ayam Potong 1 kilogram (kg), Ayam Potong 1.2kg, Peha Ayam Tanpa Tulang 1kg dan Filet Ayam 1kg.

Kalau di luar harganya boleh mencecah sehingga RM20 (sebungkus),” katanya selepas merasmikan Jualan “Happy Hour” di reruai NAFAS di MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Sementara itu, Zamri berkata NAFAS turut membawa NAFAS Cafe ke MAHA 2022 kali ini untuk memberi peluang kepada pengunjung menikmati keunikan minuman daripada produk Peladang.

Katanya selain menjual minuman, NAFAS Cafe berkenaan juga mempromosikan produk minuman 3 dalam 1 seperti kopi, coklat dan teh tarik yang kini berada di pasaran dan latte yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Beliau berkata antara minuman terlaris dijual pada hari ini ialah minuman Kopi O 3 dalam 1 kerana aroma dan rasa adunan serbuk kopi, gula pasir dan gula perang di dalamnya menepati selera ramai pelanggan.

MAHA 2022 yang akan berlangsung sehingga 14 Ogos ini dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.- BERNAMA