KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak perlu menuding jari terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih gagal menyelesaikan masalah rakyat disebabkan keputusan pemimpin terdahulu di negeri itu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, sebaliknya Menteri Besar perlu membuktikan dakwaan itu dan melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan tegas.
“Jika benar ia terjadi di masa pemerintahan BN, lebih baik Menteri Besar menunjukkan kepada rakyat secara terperinci pihak mana terlibat dengan permasalahan ini, laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Kami berharap Menteri Besar melaksanakan tanggungjawab dan bukannya menyalahkan pihak yang sudah bertahun lamanya tidak memerintah negeri ini.
“Jika beliau tidak mampu melaksanakan amanah ini, lebih baik beliau meletak jawatan dan berikan kepada mereka yang berkelayakan untuk menggalas tugas menerajui Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, Amirudin mendedahkan semasa sidang Dewan Negeri Selangor kononnya kegagalan kerajaan Selangor di bawah PH tidak berupaya menyelesaikan masalah rakyat disebabkan oleh keputusan pemimpin terdahulu.
Amirudin mendakwa, antaranya kegagalan pemimpin terdahulu itu melibatkan Akademi Merah Kuning dan Hotel Carlton yang dikatakan diwarisi daripada Kerajaan BN di Selangor.
Dalam pada itu, Dendera Billah berkata, kedua-dua isu terbabit melibatkan soal kontrak dan jalan penyelesaiannya adalah dengan mengikut saluran perundangan.
“Apakah dengan kekuatan seluruh jentera kerajaan Selangor, PH tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah seperti ini.
“Jelas di sini bahawa kerajaan PH yang masih gagal kerana tidak mampu untuk menyelesaikan masalah ini dan bermacam lagi isu lain walaupun sudah hampir 15 tahun memerintah negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette