Majlis pelancaran LCS pertama TLDM (kiri) dan pelancaran LMS TLDM.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) cuba mengambarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba menipu ketika melancarkan Kapal Tempur Persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2017.

Menurut Najib, ketika prosiding, PAC telah bertanya kepada saksi mengenai penganjuran majlis pelancaran itu dan sama ada majlis tersebut telah memberikan satu persepsi atau gambaran kapal tersebut telah siap.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, majlis pelancaran berkenaan bukan untuk menipu rakyat konon LCS tercanggih pertama milik TLDM itu sudah siap.

Katanya, majlis tersebut adalah sama seperti pelancaran Kapal Misi Pesisir (LMS) pertama TLDM pada April 2019 dan dilaksanakan oleh Normah Alwi iaitu isteri Mohamad Sabu yang menjadi Menteri Pertahanan ketika itu.

Twitter rasmi TLDM memaparkan isteri Menteri Pertahahan Mohamad Sabu melancarkan LMS Keris pada April 2019

“Tidak. Ianya bukan untuk tipu rakyat bahawa kononnya kapal sudah siap. Ianya sebahagian daripada proses pembinaan kapal. Ia penamaan dan pelancaran kapal sebahagian daripada institusi yang dipraktikkan oleh seluruh dunia.

“Pelancaran kapal ke air untuk membuat ujian keseimbangan sama ada okay atau tidak. Kemudian selepas majlis kapal itu dimasukkan ke dockyard untuk teruskan pembinaan.

“Ini sama seperti isteri Mat Sabu namakan dan lancarkan kapal KD Keris pada bulan April 2019 biar pun pembinaan diteruskan selepas itu dan kapal hanya diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada bulan Januari 2020,” kata Najib.

Beliau juga berkata, satu lagi salah faham mengenai projek tersebut adalah mengenai peruntukan pembinaan kapal-kapal berkenaan.

Najib berkata, dari awal lagi bajet projek tersebut bernilai RM9 bilion dan bukan RM6 bilion seperti yang didakwa.

“Satu lagi salah faham ialah bajet projek ini adalah RM6 bilion dan angka RM9 bilion itu adalah sebab kos bertambah RM3 bilion atau pun sudah disonglap.

“Tidak. Dari mula-mula pun, bajet projek ini dianggarkan sebagai RM9 bilion. Pembinaan lima daripada enam kapal itu dilakukan secara serentak – bukan dibina satu persatu,” kata Najib.

Pelancaran LCS TLDM yang pertama pada 2017.

Media pada 24 Ogos 2017 melaporkan LCS tercanggih pertama milik TLDM yang dinamakan Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela dilancarkan di dermaga Boustead Naval Shipyard di Pangkalan TLDM Lumut.

Media pada waktu itu turut melaporkan, kapal pertama itu adalah daripada enam LCS bernilai RM9 bilion dan kapal yang dibina di Boustead Naval Shipyard itu akan dilepaskan buat pertama kali ke perairan.

Majlis penamaan dan pelancaran kapal itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak  Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara sebuah portal pertahanan, Air Times pada 15 April 2019 melaporkan TLDM telah mengabadikan senjata tradisional Melayu, Keris sebagai nama Kapal Misi Pesisir (LMS) yang pertama.

Dalam laporan bertajuk ‘TLDM abadikan nama persenjataan tradisi Melayu pada kapal perang baharu’, LMS tersebut telah dilancarkan di Shuangliu Manufacturer Base, Wuchang Shipbuilding Industrial Group, Wuhan, China.

Majlis Perasmian LMS itu telah disempurnakan Normah dan turut dihadiri oleh Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here