Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang mengingatkan Pakatan Harapan (PH) bahawa faktor Tun Dr. Mahathir Mohamad dan formula penyatuan dan pemerkasaan orang Melayu telah membantu parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali mengingatkan fakta tersebut selepas beberapa pemimpin PH mencemuh pembentukan Gerakan Tanah Air (GTA) yang digerakkan oleh Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang.

“Lebih misteri sehingga ke tahap mencuit hati adalah suara pemimpin-pemimpin senior dari PH, PKR, DAP yang menyatakan bahawa sebarang gerakan bermotifkan bangsa dan agama akan lari dari perjuangan sebenar membina negara bangsa. Nampaknya bukan sahaja Melayu tetapi bangsa lain pun mudah lupa.

“Bukankah faktor Tun Mahathir dan formula penyatuan, pemerkasaan Melayu yang membantu PH menakluki Putrajaya pada PRU-14? Di manakah kritikan dan serangan sebegini sewaktu Deklarasi Rakyat?

“Mengapa bisu dan pekak empat tahun lalu? Atau mungkinkah pada masa itu Tun Mahathir dan penyatuan Melayu perlu untuk mereka-mereka ini merasa kerusi empuk di persada kuasa?” tanya Muhammad Rafique.

Menurut beliau, pengkritik GTA harus memahami realiti medan politik pada masa ini.

Katanya, ‘pertempuran’ bagi Malaysia bukanlah di bandar-bandar atau kota dan bukan juga di ruang-ruang alam maya atau di kedai kopi berhawa dingin.

“Perang sebenar adalah di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Ya. Di sawah bendang, di Felda, di pinggir bandar, di perkampungan. Pendek cerita di kawasan Melayu tegar.

“Di kawasan-kawasan yang PKR, DAP, PH tidak boleh tembusi. Di kawasan-kawasan PH bergantung pada Tun Mahathir semasa kempen PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tanpa berselindung, beliau berkata, Dr. Mahathir telah menubuhkan sebuah parti Melayu iaitu Bersatu bagi mengantikan UMNO.

Menurutnya, mereka yang mengkritik GTA pada ketika ini telah bekerjasama bagi menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

Muhammad Rafique berkata, PH pada ketika itu sedar  tanpa sokongan orang Melayu mereka tidak mempunyai peluang langsung untuk menang PRU-14.

Media sebelum ini melaporkan penubuhan GTA yang berhasrat untuk bertanding di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

GTA disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Pengerusinya, Dr. Mahathir berkata, gerakan itu akan fokus untuk bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan kerusi yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun beberapa pemimpin PH termasuk Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan reaksi sinis terhadap GTA.

“Saya tak mendukung inisiatif seperti itu kerana kalau betul bela Melayu-Islam, dalam 22 bulan (jadi Perdana Menteri kali kedua) dia patut dah tolong.

“Tapi Melayu yang dia pilih itu tak sebenarnya mewakili sentimen Melayu,” kata Anwar. -MalaysiaGazette