Foto Instagram Stacy.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Stacy Anam, 32, selamat melahirkan bayi lelaki pagi tadi yang merupakan anak kedua juara Akademi Fantasia musim keenam.

Berita itu dikongsikan oleh suaminya, penyanyi, Akim Ahmad, 31, menerusi satu hantaran di akaun Instagram hari ini.

Menurut Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad, dia bersyukur dengan kurniaan Tuhan itu, apatah lagi ia merupakan bayi sulung lelaki buatnya dan Stacy.

“Segala pujian selayaknya untuk Mu Ya Allah, jam 10.19 pagi, 6 Ogos 2022 bersamaan Muharram 1444 Hijrah. Isteriku tercinta, Stacy Anam sudah selamat melahirkan anak lelaki kami, Alhamdulillah.

“Terima kasih wahai isteri. Terima kasih Tuhanku. Allahu Akbar,” katanya.

Pada Mac lalu, Stacy mengesahkan dia hamil anak kedua ketika usia kandungan mencecah empat bulan setelah ramai mula berteka-teki mengenai perubahan bentuk badannya.

Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam dan Akim sangat bersyukur kehamilan kedua itu dipermudahkan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2016.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan cahaya mata perempuan diberi nama Eshaal yang kini berusia lima tahun.

Akim dan Stacy juga mempunyai anak angkat perempuan, Bella Deluna yang kini berusia 10 tahun. – MalaysiaGazette