TLDM lakukan eksesais membabitkan Kapal Diraja (KD) Jebat dengan kapal terbaharu Tentera Laut Pakistan, PNS Taimur.

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Tentera Laut Pakistan (TLP) mengukuhkan kerjasama pertahanan menerusi Eksesais Malaysia-Pakistan (MALPAK) siri 4/2022 di sekitar perairan Selat Melaka semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam satu kenyataan berkata, eksesais itu membabitkan Kapal Diraja (KD) Jebat bersama kapal terbaharu armada TLP, PNS Taimur.

Jelasnya, eksesais itu juga memfokuskan kepada peningkatan kesefahaman serta keboleh operasian bersama kedua-dua angkatan laut.

“Kedua-dua angkatan laut mempamerkan kesefahaman serta keboleh operasian yang jitu sepanjang eksesais berlangsung.

Eksesais itu juga memfokuskan kepada peningkatan kesefahaman serta keboleh operasian bersama kedua-dua angkatan laut.

“Semua objektif eksesais direalisasikan melalui beberapa siri evolusi Peperangan Asimetrik dan Konvensional.

“Malah, perkongsian kepakaran dan ilmu turut diberi penekanan dengan pelaksanaan Personnel Exchange Programme warga kapal KD Jebat dan PNS Taimur,” katanya hari ini.

Terdahulu, PNS Taimur tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada Selasa lalu untuk lawatan operasi.

Kapal frigate kelas Tughril itu adalah kapal kedua selepas PNS Tughril.

Tambah kenyataan itu, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat dalam memperkasakan diplomasi pertahanan serta antarabangsa bagi membuktikan kredibiliti, kewibawaan dan kecemerlangan TLDM di peringkat global. – MalaysiaGazette