Annuar Musa

SERDANG — Isu mengenai Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri tidak perlu dibangkitkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, PN masih lagi sebahagian daripada kerajaan sekarang dan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kukuh.

“Selepas macam-macam berita yang dikeluarkan, kita telah mendapatkan kepastian bahawa PN masih lagi sebahagian dari kerajaan” katanya.

Sementara itu jelas Annuar, Perdana Menteri tidak seharusnya ditekan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan segera.

“Bila masanya tiba, Perdana Menteri akan umum pembubaran Parlimen dan pilihan raya akan dijalankan”

“Buat masa ini, kita ada perkara untuk diselesaikan, dan saya rasa ini suatu perkara yang semua orang perlu mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk berkhidmat bersama PM dan kerajaan,”

“Perdana Menteri dan kerajaan akan terus fokus dan komited dalam membantu rakyat dalam waktu yang sukar ini” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika kerajaan tumbang kerana ada parti tarik sokongan maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu.

Ia susulan PN dilaporkan bercadang untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail selepas kecewa dengan mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis lalu dengan PN dibatalkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. yang tarik SOKONGAN ialah si KITUL ZAHID dan geng 15 DENGAN alasan GAGAL tangani covid.kjaan bayangan si kitul ZAHID dah 100% berjaya hapusss covid….sebelum ni berdegar2 cakap umNO saja yang boleh tadbir urus covid dan hutang negara….poorahhhhh

Comments are closed.