AMPANG- Seorang pelajar sekolah antara dua suspek dicekup polis selepas disyaki mencuri wang tabung surau dan menggunakan motosikal bernombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku di sebuah surau di Taman Keramat Permai di sini 28 Julai lalu.
“Pada hari kejadian jam lebih kurang 6 pagi, seorang lelaki berumur 68 tahun yang merupakan pesara terkejut selepas mendapati tabung surau telah tertanggal pada kedudukan asal di bahagian ruangan solat wanita.
“Jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM30,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Tambah beliau, pada 6 Ogos lalu jam lebih kurang 10.10 malam, sepasukan telah menangkap dua lelaki lelaki, masing-masing berumur 13 dan 21 tahun di tepi Jalan 6/10, Tasek Tambahan.
Siasatan awal polis ke atas kedua-dau lelaki itu mendapati suspek pertama masih bersekolah di Sri Kembangan Selangor manakala suspek seorang lagi tidak bekerja.
“Polis juga berjaya merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda daripada suspek yang dipercayai digunakan ditempat kejadian yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Modus operandi suspek adalah mensasarkan tabung duit derma dalam surau dan melarikan wang tersebut,” katanya.
Kedua-dua suspek akan direman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Ampang untuk membantu siasatan lanjut polis.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun keseksaan iaitu melakukan kesalahan curi dalam bangunan/premis yang digunakan sebagai tempat simpanan harta dan jika sabit kesalahan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun, dan boleh juga dikenakan denda.
Menurutnya, suspek-suspek itu turut disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 dan dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekal
Mohamad Farouk memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan melakukan curi dalam bangunan dan menggunakan nombur pendaftaran palsu. – MalaysiaGazette