Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin menyerahkan replika kad Takaful Kasih kepada Abdul Rahman Mohd Nasri sambil disaksikan oleh Datuk Haslina Abdul Hamid.

SERDANG – Pesawah yang berdaftar melalui Program Komuniti Industri Tani Bernas (KITA) menerima kad perlindungan Takaful Kasih Plus Program KITA oleh Agrobank.

Setakat hari ini, seramai lebih 6,000 pesawah seluruh Malaysia telah mula diberi perlindungan melalui kad takaful tersebut.

Selain perlindungan Takaful Kasih Plus, pesawah yang berdaftar melalui program ini turut mendapat pelbagai faedah seperti pemberian Insentif Peningkatan Hasil dan Mutu Padi, diberikan pendedahan melalui pelbagai program latihan (Pembangunan dan Latihan) dan lain-lain lagi.

Pesawah dari Pasir Puteh, Kelantan, Che Hassan Delah, 55, berkata, Program KITA merupakan satu inisiatif yang sesuai untuk mengumpulkan semua pesawah berkerjasama di bawah satu program.

“Melalui platform ini segala perbincangan serta idea boleh di kongsi bersama pesawah dari seluruh Malaysia. Kami juga diberi latihan seperti pengenalan kepada Jadual Kerja Ladang untuk meningkatkan hasil serta kualiti padi kami,”

“Saya menyaran rakan-rakan pesawah lain agar menyertai program KITA kerana dengan menyertainya, ahli akan mendapat banyak faedah,” ujar beliau.

Sementara itu, Mohd Noor Hashim (59 tahun), pesawah dari Kuala Perlis, Perlis menyatakan perasaan terharu apabila golongan pesawah diberi perhatian dengan faedah kad perlindungan takaful.

“Alhamdulillah dengan menyertai program ini, pesawah juga dapat menikmati pelbagai faedah yang ditawarkan program tersebut. Setelah menjadi pesawah lebih 28 tahun, ini merupakan kali pertama saya enerima faedah seperti skim perlindungan Takaful Kasih Plus ini.”

“Saya merasa amat dihargai dan tidak menyangka bahawa golongan pesawah juga diberikan perhatian. Skim perlindungan yang diberikan ini memberikan beliau satu jaminan dari segi kesihatan dan juga keselamatan ketika melakukan kerja aktiviti bendang,” kata Mohd Noor.

Majlis penyerahan replika kad takaful tersebut disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Bahagian Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan Bernas, Abdul Rahman Mohd Nasri pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2022, di sini, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast