KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mahu Kementerian Sumber Manusia memberi jaminan akan menyiasat isu penyelewengan dana insentif Program Subsidi Upah akan disiasat hingga ke lubang cacing.

Sekretariat NUFAM amat kecewa kerana ada sesetengah sesetengah pihak berani merompak hasil titik peluh pekerja yang disalurkan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menerima bantuan ini.

Menurutnya, isu ini harus diambil serius dan mana-mana syarikat yang tidak bertanggung jawab harus dikenakan tindakan termasuk menyenaraihitamkan.

”Mereka yang tidak bertanggung jawab ini telah merompak hasil titik peluh simpanan pekerja apabila kerajaan mengeluarkan dana bantuan PSU ini melalui Perkeso,” kata Sekretariat NUFAM dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, Sekretariat NUFAM yang mengadakan pertemuan dengan Perkeso baru-baru ini turut membangkitkan beberapa kelemahan skim bantuan ini yang mana dana bantuan itu sepatutnya disalurkan terus kepada pekerja dan bukan majikan.

Lebih menyedihkan lagi, dakwa NUFAM, ada majikan yang telah menerima berjuta ringgit tetapi pada masa sama membuang pekerja mereka lagi.

Keadaan yang berlaku ini menunjukkan pemantauan tidak dilakukan secara terperinci ke atas syarikat yang menerima dana tersebut.

”Kami harap isu seperti diambil berat oleh Menteri Sumber Manusia kerana beliau harus mengambil tanggungjawab dengan memberi jaminan isu ini akan disiasat sehingga lubang cacing,” tegas NUFAM sambil menambah insiden ini juga telah mencemar nama baik Perkeso yang selama ini telah memberi bantuan kepada pekerja di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast