Jentera parti Warisan Sabah sedang sibuk melakukan kerja-kerja pemasangan bendera sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di jalan bulatan Bomba, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 13 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Parti Warisan Negeri Perak menegaskan tiada sebarang watikah perlantikan atau janji diberi kepada mana mana individu atau kumpulan sebagai pimpinan negeri atau penyelaras di peringkat Bahagian Negeri Perak.

Perlantikan rasmi jawatan jawatan tertinggi Warisan Negeri Perak hanya diumumkan baru-baru ini pada 24 Julai 2022 melalui Mesyuarat Warisan Negeri Perak yang pertama kali diadakan.

Ketua Penerangan Negeri Parti Warisan Perak, Mohd Sani Abbas membuat kenyataan itu susulan kenyataan media oleh kumpulan yang mengelarkan diri mereka sebagai Penyelaras Bahagian Warisan Negeri Perak pada Jumaat lalu.

Katanya, kumpulan ini hanyalah terdiri daripada beberapa ahli ahli biasa yang mana sebelum ini aktif menawarkan diri membantu warisan untuk mengembangkan sayap di Perak namun tidak terpilih untuk memegang jawatan di peringkat negeri maupun di peringkat Bahagian.

Ini ditambah dengan keputusan Warisan Pusat yang hanya akan bertanding di beberapa bahagian sahaja di Perak yang mana tidak selari dengan pendirian mereka, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sani berkata, namun cubaan segelintir ahli ahli yang cuba mencemarkan imej Parti Warisan tidak sama sekali menjejaskan persiapan Warisan untuk menghadapi Piliharaya Umum Ke-15.

Jumaat lalu, kira-kira 600 ahli Parti Warisan daripada lapan bahagian di negeri ini mengisytiharkan keluar parti hari ini selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.

Kesemua mereka terdiri daripada ahli Warisan Bahagian Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Kuala Kangsar, Sungai Siput Beruas, Batu Gajah dan Teluk Intan.

Tindakan itu diambil selepas mendapati parti berkenaan bukan sahaja tiada hala tuju jelas malah dilihat tidak mendapat sambutan daripada orang Melayu.

Malah kumpulan itu berkata, tindakan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal melantik ‘orang luar’ sebagai Pengerusi Warisan Negeri Perak telah membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli. – MalaysiaGazette