Waris Allahyarham Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal menerima bantuan daripada Perkeso yang disampaikan oleh Mohammed Azman Aziz Mohammed.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyampaikan bantuan faedah kepada waris Allahyarham Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal, jurulatih penerbangan yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Ipoh, Perak pada 1 Ogos lalu.

Perkeso yang diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed turut menyantuni balu dan waris kepada Allahyarham iaitu Hayati Nawi, 50, dan seorang anak perempuannya yang masih bersekolah, Fatini Nadia Qistina, 17 tahun.

Mohammed Azman telah menyampaikan bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada kedua waris.

Allahyarham turut meninggalkan dua lagi anak perempuan, Farah Hani Filzah, 25, ahli perniagaan dan Farisah Natasha, 23, seorang pensyarah kolej.

Perkeso berkata, pemprosesan faedah telah dibuat dengan kadar segera, sejurus Skuad Perkeso Prihatin mengetahui berita kemalangan tersebut menerusi laporan media tempatan.

Langkah proaktif diambil dengan mendapatkan maklumat dan membuat semakan caruman Allahyarham Fajim dan hasil semakan mendapati arwah menerusi warisnya layak menerima faedah Perkeso.

Memandangkan kemalangan berlaku semasa arwah sedang menjalani latihan penerbangan malam, maka pemprosesan faedah dibuat menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Waris telah menerima bayaran FPM untuk sekali bayar pada 3 Ogos lalu manakala bayaran FOT setiap bulan akan disalurkan kepada balunya (untuk seumur hidup) dan anaknya (sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama).

”Perkeso komited untuk memastikan kesinambungan bantuan dapat terus disalurkan kepada keluarga Allahyarham Fajim, menerusi pelbagai program dan inisiatif yang disediakan oleh Perkeso ataupun agensi-agensi lain menerusi Program Sinergi
Sosial,” katanya.

Dalam kejadian malang pada malam Sabtu lalu, pesawat ringan yang dinaiki Allahyarham Juffa dan pelatihnya dilaporkan hilang kawalan dan terhempas di Medan Gopeng, Ipoh.

Allahyarham merupakan seorang jurulatih penerbangan di Bats Aviation Sdn Bhd sejak Februari 2020, juga
merupakan pesara tentera yang pernah berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan menyandang jawatan Leftenan Kolonel. – MalaysiaGazette