Syabu disorokkan dalam acuan simen untuk dihantar ke luar negara yang dirampas polis dalam empat serbuan di Pulau Pinang pada 4 Ogos lalu.

KEPALA BATAS – Kegiatan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang disorok dalam acuan simen untuk dihantar ke luar negara menggunakan perkhidmatan kurier terbongkar selepas enam individu termasuk lima sekeluarga ditahan dalam empat serbuan berasingan di Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Tangkapan tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 32 hingga 66 tahun itu turut membawa kepada penemuan dadah bernilai RM694,412.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, tangkapan pertama membabitkan sepasang kekasih di Bayan Lepas.

Jelas beliau, susulan itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Bagan, Butterworth dan menahan empat individu iaitu ibu, bapa, adik dan adik ipar kepada suspek lelaki yang ditangkap di Bayan Lepas.

Mohd Radzi (dua dari kiri) menunjukan dadah yang dirampas pada sidang media di IPD SPU hari ini

Kata Mohd Radzi, hasil siasatan mendapati sindiket terbabit cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan bungkusan berisi syabu ke dalam acuan simen.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif sejak Jun lalu dengan menghantar acuan simen berisi syabu menerusi khidmat kurier ke luar negara.

“Ia susulan penemuan dadah berkenaan yang diisi ke dalam plastik sebelum diletakkan ke dalam acuan simen hasil siasatan polis.

“Dalam serbuan itu, pihak polis merampas tiga bungkusan syabu seberat kira-kira 592 gram (g) yang dianggarkan bernilai RM21,312 bersama 427 paket serbuk MDMA seberat 13.46 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM673,100,” katanya pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Turut dirampas sebuah kenderaan bernilai RM23,000 dan wang tunai berjumlah RM1,500.

Mengulas lanjut Mohd Radzi berkata, selain menghantar syabu ke luar negara, sindiket terbabit juga mengedar serbuk MDMA berperisa di pusat-pusat hiburan.

“Setiap paket serbuk berperisa itu dijual pada harga RM150 dan RM180 dipercayai digunakan semasa berhibur.

Dadah yang dirampas dalam serbuan tersebut.

“Kesemua suspek direman selama lima hari bermula Jumaat lalu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Radzi berkata, polis turut menumpaskan satu lagi kegiatan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di Mak Mandin, Butterworth, dekat sini.

Pada operasi kira-kira jam 4.30 petang itu, pihaknya merampas 1.39 kg serbuk MDMA, ketamin (3 g), pil Ekstasi (2 g) dan pil Erimin 5 (4.5 g) yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM70,080. – MalaysiaGazette