Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor. Foto MUHD NA'IM, 08 OGOS 2022.

SERDANG – Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali enggan melayan soalan media mengenai namanya dipilih untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya, beliau membuat kenyataan yang tiada kaitan dengannya.

Azmin berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri komited untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

”Kerajaan pada hari ini adalah kerajaan gabungan bukan satu parti seperti sebelum ini. Gabungan ini antara yang terbesar dalam kepimpinan kerajaan. Maka saya dan rakan saya tegaskan, tanggungjawab kami adalah memperkukuhkan gabungan sedia ada.

“Kalau kita lemah, maka kerajaan PN lemah,” katanya ketika sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik Anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sempena MAHA 2022.

Turut hadir dan menyaksikan pemeteraian berkenaan adalah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Jelas Azmin, kerajaan pada hari ini perlu berada pada kedudukan stabil untuk memulihkan ekonomi dan Covid-19 yang menjejaskan pelbagai aspek.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak boleh terjerumus dalam drama politik yang hanya akan merugikan rakyat.

”Adalah tanggungjawab saya adalah untuk pastikan kerajaan ini kuat supaya dapat tangani  dua isu iaitu ekonomi negara dan Covid-19.

”Kalau mahu tangani dua isu ini, kita tidak boleh terjebak dengan dalam drama politik yang merugikan rakyat. Saya mahu politik yang dapat memberi khidmat kepada rakyat dan pastikan dua isu berkenaan dapat ditangani,” tambah beliau.

Media melaporkan Bersatu yang menuntut jawatan TPM telah mencalonkan nama Azmin bagi jawatan itu.

Azmin merupakan calon tunggal yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu bagi mengisi jawatan berkenaan seperti mana perjanjian. – MalaysiaGazette