KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut, manakala 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terselamat selepas bot yang mereka naiki karam di perairan negara hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, Pusat Operasi Maritim Selangor menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada ‘Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada jam 2.23 pagi tadi.
“Bertindak atas maklumat itu, Bot Perkasa 36 Maritim Negeri Selangor, bot Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) bersama bot Pasukan Polis Marin (PPM) diatur gerak ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa.
“Hasil pemeriksaan mendapati, sebuah kapal tangki milik swasta MVNCC Najem telah berjaya menyelamatkan 28 lelaki dan tujuh wanita berusia 22 hingga 51 tahun dan dipindahkan ke aset penguatkuasa beserta satu mayat lelaki turut ditemui dalam keadaan terapung oleh kru kapal tangki tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Siva Kumar, lokasi bot yang karam itu masih belum dipastikan dan siasatan masih dilakukan.
Tambah beliau, bot tersebut dipercayai cuba membawa masuk PATI Indonesia mengikut laluan laut yang tidak sah.
Kata beliau, pihaknya berjaya memindahkan kesemua PATI, termasuk mayat lelaki, dari kapal tangki yang berada di 23 batu nautika barat Pulau Ketam, Pelabuhan Klang.
Menurutnya, kesemua PATI itu dibawa ke Pejabat Maritim negeri Selangor untuk tindakan lanjut manakala mayat itu diserahkan kepada polis untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette