logo mahlamah

LUMUT – Tujuh warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Seorang lelaki dan seorang wanita mengaku bersalah manakala lima lelaki minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Dua yang mengaku bersalah iaitu Guo Fei, 48, didenda RM5,000 manakala Dai Bao Xi, 50-an, didenda RM4,000.

Mereka membayar denda itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua unit berbeza di sebuah apartment di sini pada 25 Julai lepas mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya manakala kesemua warga asing diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh.

Terdahulu, Muhammad Syafiq memohon mahkamah menangguhkan hukuman sebatan ke atas Guo Fei atas alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya itu yang hanya melibatkan kesalahan imigresen.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan mengarahkan tertuduh memfailkan notis rayuan.

Muhammad Syafiq turut menetapkan 1 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dalam kes membabitkan Li Tao, 23, Lin Zhi Chuang, 27, Guo Feng Jie, 29, Zhang Zheng Long, 29, dan Chen Yuan Zhou, 28, yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama. – Bernama