Foto Instagram Elyana.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Elyana terus menjadi perhatian di media sosial selepas dia memuat naik sekeping foto tidak lagi memakai tudung.

Salah satu gambar yang dikongsi pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu apabila memaparkan dia memakai baju yang tertulis ‘Jadi Diriku’.

Apa yang menimbulkan persoalan, wanita yang bebas kanser akhir tahun lalu turut menutup ruangan komen untuk hantaran foto yang memaparkan aksinya tidak bertudung.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan gambar tersebut adalah lama atau yang terkini.

Baru-baru ini, Elyana meluahkan rasa bengang dengan sikap segelintir netizen yang menuduh dia sengaja menggunakan penderitaan sakit kanser limfoma yang pernah dihidapinya untuk mencari simpati.

Dia menyesal mendedahkan tentang penderitaannya itu kerana masih terdapat segelintir pihak yang mencari ruang dan peluang untuk mengecamnya dengan pelbagai tuduhan.

“Cari simpati? Ayat paling pantang telinga aku dengar. Inilah sebabnya aku ambil masa lapan tahun untuk memberitahu tentang sakit ini,” katanya

Pada Disember tahun lalu, Elyana mengumumkan berita gembira apabila disahkan bebas daripada kanser limfoma yang dihidapinya sejak 12 tahun lalu.

Dia buat pertama kali membuka mulut membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 10, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette