Mustapa Mohamed berucap pada Majlis Pelancaran Kerjasama Makanan Ayam Kampung FGV ALMA- BERNAS dan Pemasaran Ayam Kampung LADANG-57 bersama AEON Big (M) Sdn, Bhd di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 08 OGOS 2022.

SERDANG – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan FGV Berhad menjalinkan kerjasama dalam menghasilkan formulasi baharu makanan ternakan ayam kampung yang diperbuat daripada produk sampingan di bawah jenama Alma.

Produk itu dihasilkan daripada kilang pemprosesan padi dan beras milik Bernas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, inisiatif ini akan mengurangkan sebanyak 10 peratus kos pengeluaran dengan menggantikan komponen bijirn jagung yang diimport. 

Produk sampingan sebanyak 30,000 metrik tan setahun ini akan digunakan khusus untuk menghasilkan makanan ternakan.

“Dengan pengeluaran makanan ternakan ayam kampung berkhasiat ini, negara dapat mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan ayam, seterusnya memastikan ketersediaan produk dan dijual pada kadar lebih rendah.

“Itulah faedah kerjasama ini,” katanya selepas melancarkan Kerjasama Makanan Ayam Kampung FGV Alma – BERNAS & Pemasaran Ayam Kampung Ladang ’57.

Majlis pelancaran diadakan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA2022).

Jelas Mustapa, kerjasama ini akan melibatkan seramai 10 peserta Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Kampung Orang Asli Kuin Lengut di Bera di bawah Program Pembangunan Peneroka.

“Untuk miskin tegar fasa pertama ada 80 lokaliti, daripada jumlah itu kira-kira 10 mempunyai komponen ternakan ayam kampung,” ujarnya sambil menambah kerajaan mengalakkan kerjasama ini bagi meningkatkan  jaminan bekalan makanan negara.- MalaysiaGazette