Datin Paduka Che Asmah Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pejuanita Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam terbaharu rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza yang masih berterusan sehingga ke hari ini melibatkan orang awam khususnya wanita dan kanak-kanak.

Ketuanya, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, masyarakat antarabangsa digesa menggunakan kuasa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk memberi tekanan bagi menghentikan serangan itu serta-merta.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia perlu bersuara lebih lantang memberi tekanan kepada rejim Israel untuk menghentikan serangan ini dengan segera.

“Kerajaan  perlu membawa aspirasi dan suara rakyat Malaysia yang mahu melihat keamanan di Semenanjung Gaza dikembalikan dengan secepat mungkin.

“Ini kerana serangan pihak rejim Israel ini jelas bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 29 rakyat Palestin maut termasuk enam kanak-kanak, manakala lebih 250 lagi tercedera setakat 6 Ogos lalu.

Di samping itu, 40 keluarga telah kehilangan tempat tinggal dan menumpang di rumah jiran-jiran manakala lebih dari 650 rumah telah musnah dalam serangan terbaru itu.

Susulan serangan itu, bekalan bahan api juga berkurangan menyebabkan loji janakuasa Gaza terpaksa ditutup dan bekalan elektrik di Gaza semakin terhad dan bakal terhenti. – MalaysiaGazette