Muhammad Fazreen Johari

KUALA LUMPUR – Jangan pandang rendah kepada gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diumumkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Walaupun dilihat kecil tetapi pemimpin dalam gabungan itu, terutama Presiden Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali seorang ahli politik yang berpengalaman dalam menumbangkan kerajaan Kelantan sebanyak dua kali.

Exco Pergerakan Wira Putra, Muhammad Fazreen Johari berkata, GTA dikatakan lemah hanya berdasarkan fakta kononnya ia dibarisi kalangan parti tidak popular.

“Tetapi ramai lupa gabungan pemimpin seperti Dr. Ibrahim yang ada pengalaman menumbangkan kerajaan Kelantan melalui parti kecil iaitu Berjasa tahun 70-an dan Semangat 46 akhir 80-an amat berguna.

“Ini memberi kelebihan kepada GTA untuk terus lantang dan berani bersuara bagi orang Melayu dan pribumi sekali gus berdepan dengan parti besar seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Fazreen, kerjasama politik antara Putra, Pejuang, Berjasa dan parti Iman yang dipimpin Dr. Mahathir bakal menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin politik dan kerajaan yang telah menggadai tanah air ini demi kepentingan mereka.

Jelas beliau, kebajikan dan kemiskinan orang Melayu dipandang remeh dan masalah itu cuba disembunyi atau dielakkan daripada disedari orang Melayu agar pemimpin politik yang korup boleh mencucuk hidung rakyat.

Katanya, kekuatan parti Melayu dalam kerajaan sama ada yang lama atau serpihan UMNO bukan halangan atau ancaman besar pada masa ini.

“Selepas PRU-15 ini juga dijangka tiada lagi parti yang dominan untuk mentadbir negara. PN semasa di PRN Johor juga tidak mendapat keputusan terlalu baik, jika tidak kerana memperoleh undi dari penyokong Pas yang sedia ada dan sebahagian kecil penyokong Bersatu.

“Begitu juga purata undi yang menurun pada PRN lalu bagi setiap parti yang lama menunjukkan rakyat sudah mula hilang kepercayaan dan bersedia untuk buat perubahan,” katanya.

Beliau berkata, GTA merupakan pilihan baru dan alternatif kepada semua orang Melayu yang mempunyai kesedaran dan ragu akan masa depan negara dengan keangkuhan kepimpinan politik hingga kedudukan bangsa itu tergolong dalam kumpulan mudah miskin berpanjangan.

Justeru, katanya, Wira Putra menjemput rakyat Malaysia sama ada partisan atau bukan partisan untuk bersama menyokong perjuangan itu demi masa depan orang Melayu yang lebih baik dan terjamin. – MalaysiaGazette