Khairul Dzaimee Daud

SEPANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedia memberi kerjasama kepada jawatankuasa siasatan yang diwujudkan untuk menyiasat dakwaan seorang pegawai jabatan itu ditengking dan dihina oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, beliau tidak boleh mengulas mengenai perkara itu memandangkan jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan.

“Jabatan Imigresen akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa yang telah ditubuhkan ini,” katanya pada sidang media di KLIA, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara dilantik ketuai siasatan kes KPPA, pegawai imigresen

Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kabinet mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu membabitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (Imigresen).

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun akan mempengerusikan jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan insiden yang berlaku pada Rabu lalu. – MalaysiaGazette