Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilantik sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat dakwaan insiden melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Penubuhan jawatankuasa ini selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Kabinet 5 Ogos lalu.

Ahli-ahli lain yang menganggotai jawatankuasa ini ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid
dan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, siasatan akan dilakukan secepat mungkin.

Menurutnya, jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk mengendalikan siasatan secara
terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada kedua pihak.

Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan selanjutnya, kata beliau dalam kenyataan di sini.

Dalam insiden 3 Ogos lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) didakwa menengking dengan kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kejadian itu berlaku antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi, di Balai Berlepas, KLIA.

Susulan insiden itu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut ketua pengarah perkhidmatan awam membuat permohonan maaf terbuka.

Insiden bermula apabila tiada pegawai imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA.

KPSIM mendakwa, sememangnya pegawai imigresen tidak ditempatkan di kaunter bilik VIP secara 24 jam kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih memerlukan, berbanding kaunter bilik VIP yang hanya akan dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal.

”Pegawai imigresen yang bertugas di KLIA telah dipanggil dan ditengking, diherdik dan diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai.

”Tindakan tidak profesional oleh seorang pegawai tertinggi kerajaan ini dengan kata-kata yang dilepaskan dalam nada menengking di hadapan orang ramai dan kakitangan imigresen lain yang sedang bertugas merupakan satu sikap biadap serta tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyangkal dakwaan kononnya Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen.

Memandang serius dakwaan berkaitan, JPA mengesyorkan supaya perkara itu disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

JPA dalam satu kenyataan menegaskan segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tertinggi kerajaan.

Jabatan itu juga menegskan teguran itu tidak dibuat di khalayak ramai seperti didakwa di media sosial oleh segelintir pihak.

Dalam pada itu Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menerusi Presidennya Datuk Adnan Mat mendesak KPPA segera memohon maaf atas perbuatan tidak berprofesional itu.

Justeru CUEPACS juga mendesak campur tangan perdana menteri dalam perkara tersebut untuk mendapatkan keadilan sewajarnya untuk pegawai kanan Imigresen yang terjejas.-MalaysiaGazette