Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah diiringi Menteri di Jabatan Perdan Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad bercakap pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari ASEAN Ke-55 di Markas SMART, Puchong, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2022.

PUCHONG – Dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata mereka tidak mengetahui mengenai dakwaan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicalonkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Perkara itu dizahirkan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang turut berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat. 

“Saya tidak tahu, (Adakah ia dibincangkan dalam mesyuarat MPT) kami tidak tahu.

“Kalau tahu nanti kami beritahu,” katanya dalam sidang media sempena sambutan Hari ASEAN ke 55, hari ini.

Nada sama turut diluahkan Saifuddin Abdullah ketika ditanya komen beliau mengenai laporan media bahawa Azmin adalah calon tunggal gabungan itu untuk jawatan TPM.

“Jawapan saya sama sebab dalam Kabinet kami duduk sebelah menyebelah,” katanya dalam sidang media sama.

Awal hari ini, media melaporkan Bersatu yang menuntut kerusi TPM daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencalonkan nama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan itu.

Laporan memetik sumber itu berkata, Azmin merupakan calon tunggal yang dikemukakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan berkenaan seperti mana perjanjian. – MalaysiaGazette