Plak Benin yang didakwa diambil oleh tentera British pada abad ke-19. Foto 71bait.com

LONDON – Sebuah muzium di London bersetuju untuk memulangkan artifak milik yang dirompak pada abad ke-19 daripada Kerajaan Benin.

Muzium Horniman berkata, pemilikan 72 objek akan dipindahkan kepada Kerajaan Nigeria.

Barangan itu termasuk 12 plak tembaga, dikenali sebagai Gangsa Benin, ayam jantan tembaga dan kunci istana raja.

Pemulangan artifak itu dibuat selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Kebangsaan Nigeria Untuk Muzium dan Monumen (NCMM) pada bulan Januari lalu

Muzium itu, di tenggara London, berkata ia telah berunding dengan ahli komuniti, pelawat, pelajar sekolah, ahli akademik, profesional warisan dan artis yang berpangkalan di Nigeria dan United Kingdom.

“Semua pandangan mereka mengenai masa depan objek Benin telah dipertimbangkan, di samping sumber asal objek itu,” jelasnya.

Pengerusi muzium itu, Eve Salomon berkata, adalah “moral dan wajar” untuk mengembalikannya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan tekanan politik terhadap kerajaan dan muzium Eropah untuk menyerahkan kembali artifak yang dirompak.

Ini termasuk ukiran gading dan arca logam yang dikenali sebagai Gangsa Benin.

“Buktinya sangat jelas bahawa objek ini diperoleh melalui kekerasan dan perundingan luar menyokong pandangan kami bahawa adalah bermoral dan wajar untuk mengembalikan pemilikan mereka kepada Nigeria.

“Muzium Horniman berbesar hati dapat mengambil langkah ini dan kami berharap dapat bekerjasama dengan NCMM untuk mendapatkan penjagaan jangka panjang bagi artifak berharga ini,” katanya.

Barangan dari koleksi Muzium Horniman hanyalah sebahagian daripada artifak yang dikembalikan ke Nigeria oleh muzium-muzium di barat.

Bulan lalu, Kolej Jesus di Cambridge dan Universiti Aberdeen turut memulangkan arca ayam sabung dan kepala oba (raja).

Pihak berkuasa Jerman juga memulangkan lebih 1,100 artifak ke negara Afrika barat itu.

NCMM berkata, beberapa arca yang tidak ternilai akan disimpan di muzium negara di Benin sebaik sahaja ia dikembalikan dan yang lain akan disimpan di muzium di Lagos.

Muzium British menyimpan koleksi gangsa Benin terbesar di dunia.

Ia mengatakan ia dihalang daripada memulangkan barang secara kekal oleh Akta Muzium British 1963 dan Akta Warisan Kebangsaan 1983. – BBC