Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berucap pada Majlis Sambutan Hari ASEAN Ke-55 di Markas SMART, Puchong, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2022.

PUCHONG – Persekutuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sedang dalam perancangan untuk mewujudkan satu kerangka bertanggungjawaban (accountability framework) bagi menangani isu dana misi bantuan kemanusiaan.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kerangka itu bagi membiayai misi kemanusiaan ke kawasan bencana di rantau ini sekaligus memudahkan usaha bantuan.

“Sekarang rakyat dan penderma juga bertanya apabila sejumlah wang dikumpul dan dibelanjakan sejauh mana ia dikumpul dan dibelanjakan (untuk misi bantuan)

“Kita bukan mahu membuat apa-apa tuduhan. Ini (penubuhan kerangka kebolehtanggungjawaban) sudah mula dibincangkan apakah dia kerangka yang boleh digunakan.

“Bukan untuk kawal tetapi supaya lebih selesa untuk bekerja bersama-sama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari ASEAN yang ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Jelasnya, langkah itu bagi memudahkan agensi bencana dalam ASEAN seperti Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) dan ASEAN Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) menyalurkan bantuan pada kadar segera.

Malah menurut Saifuddin, penubuhan kerangka berkenaan juga antara perkara yang sudah mula dibincangkan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambah Saifuddin lagi, penubuhan itu ekoran timbul kesedaran dalam kalangan anggota terhadap bantuan kemanusiaan dan keperluan mendesak untuk mewujudkan kerangka kebolehtanggungjawaban itu, sama ada membabitkan kerajaan mahupun masyarakat sivil.

“Satu daripada isu yang dihadapi membabitkan pengumpulan dana untuk membiayai bantuan kemanusiaan kerana organisasi masyarakat sivil dan kerajaan banyak bergantung kepada pembiayaan dari negara ketiga atau organisasi antarabangsa,” katanya lagi.

Ini kerana pelbagai pihak terutamanya masyarakat dunia serta penyumbang kini mula bertanya mengenai dana yang disalurkan mereka kepada masyarakat.  – MalaysiaGazette