Lawrence Low.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa segera menilai semula mekanisme pelarasan bahan api automatik (AFA) bagi mengurangkan beban peningkatan kos elektrik yang semakin dirasai isi rumah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi dan Hal Ehwal PKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, aduan pengguna bukan sahaja berkaitan kenaikan kos elektrik, malah kesukaran membuat perancangan kewangan apabila caj berubah dari bulan ke bulan.

Menurutnya, bil elektrik kini merangkumi caj tenaga, AFA, kapasiti, rangkaian dan peruncitan, dengan kadar AFA diselaraskan setiap bulan.

Sebagai contoh, katanya, satu bil isi rumah bagi tempoh 24 Julai hingga 23 Ogos 2026 merekodkan penggunaan 1,026 kilowatt-jam (kWh), dengan caj AFA masing-masing 3.59 sen setiap kWh bagi Julai dan 3.80 sen bagi Ogos kerana tempoh bil merangkumi dua bulan.

“Bagi keluarga biasa, persoalannya mudah: Mengapa jumlah bayaran terus berubah dan berapakah yang perlu dibayar pada bulan berikutnya?” katanya dalam kenyataan.

Lawrence berkata, PKS menerima kesan lebih besar kerana sektor seperti restoran, dobi, bakeri, perniagaan penyimpanan sejuk dan kilang kecil amat bergantung kepada penggunaan elektrik.

Katanya, peningkatan kos elektrik secara langsung memberi tekanan kepada keuntungan, aliran tunai dan perbelanjaan operasi, selain berpotensi menyebabkan kenaikan harga, pengurangan pelaburan atau peluang pekerjaan.

“Walaupun harga bahan api dipengaruhi pasaran global, pengeluar tenaga boleh menggunakan kontrak perolehan jangka panjang, perancangan inventori dan langkah pengurusan risiko bagi mengurangkan kesan turun naik jangka pendek,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyemak mekanisme AFA dan meneroka sistem pelicinan kos supaya perubahan harga bahan api dalam jangka pendek tidak terus dipindahkan kepada isi rumah dan PKS.

Pada masa sama, Lawrence berkata, ketelusan lebih tinggi diperlukan berhubung caj rangkaian bagi memastikan pengguna mengetahui dengan jelas perkara yang sebenarnya mereka bayar.

“Pengguna sewajarnya dimaklumkan sama ada caj itu melibatkan infrastruktur baharu, penyelenggaraan, operasi, susut nilai atau pulangan modal,” katanya.

Menurutnya, pengguna tidak meminta supaya kos elektrik yang munasabah dielakkan, sebaliknya mahukan sistem yang telus, boleh dijangka dan mampu ditanggung.

“Kerajaan Perpaduan digesa bertindak segera. Jika pengurangan kos sara hidup menjadi keutamaan, kos elektrik tidak boleh ditangani secara berasingan.

“Keluarga memerlukan kepastian untuk merancang kewangan, manakala PKS memerlukan kestabilan untuk terus bertahan, berkembang dan menyediakan peluang pekerjaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here