KUALA LUMPUR, – Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dalam sistem pendidikan negara dilakukan bagi memastikan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelaksanaan PBS bukan perkara yang baharu bahkan telah bermula sejak 2011, namun para guru masih terlalu memberi tumpuan kepada peperiksaan untuk memastikan murid memperoleh keputusan cemerlang.
“Bila nak mansuh peperiksaan, orang kata bagaimana nak mansuh kalau kita belum bersedia dengan PBS sedangkan PBS telah dilaksanakan sejak 2011.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Forum Transformasi Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertemakan ‘Satu Pengalaman Kolektif, Tanggungjawab Bersama’ di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon.
“Sebab itu kita lakukan transformasi yang kita lihat secara menyeluruh bukan sahaja sekadar pemansuhan UPSR dan PT3 tetapi bagaimana untuk melatih para guru menjadi lebih kreatif dengan melihat bagaimana pendigitalan dapat membantu,” katanya.
Forum sehari anjuran Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) itu hasil kerjasama dengan rakan strategik Kementerian Pendidikan iaitu Google For Education, Apple Malaysia, Digi, Microsoft Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Kementerian Kesihatan.
Forum ini juga merupakan platform perkongsian idea berkaitan keadaan semasa, hala tuju terkini untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara yang berpaksikan rakyat dan mengarusperdanakan konsep akses dalam pendidikan.
Selain daripada sesi perkongsian di pentas utama, pelbagai aktiviti future-forward yang disediakan oleh rakan-rakan strategik di ruang pameran yang terlibat dalam pelaksanaan transformasi pendidikan diketengahkan dengan bantuan murid dan guru dari sekolah terpilih. — BERNAMA